Sejarah Pertahanan Mutlak

Pada 9 Ogos 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia untuk menjadi sebuah negara merdeka; kerahan tenaga bagi semua warganegara lelaki berkeupayaan yang berumur 16 tahun ke atas telah dilaksanakan dalam bentuk Perkhidmatan Negara (National Service, NS) mulai 15 Mac 1967. Sejak 1980-an lagi, pertahanan ketenteraan diterima umum sebagai lumrah kehidupan di negara kota pulau ini,[1] namun segelintir Ahli Parlimen (AP) mempersoalkan keberkesanan usaha-usaha Kementerian Pertahanan mendekati orang awam dalam memupuk kesedaran mereka terhadap konsep Pertahanan Mutlak. Beberapa soalan telah dikemukakan kepada Menteri Pertahanan Goh Chok Tong semasa sidang parlimen pada 16 Mac 1983.[2] Keesokan harinya, Menteri Negara bagi Pertahanan Yeo Ning Hong menjawab bahawa kemajuan sedang dijalankan dalam program yang akan memberi tumpuan kepada lima perkara utama.[3][4][5]

Semasa Minggu Pertahanan Awam pada 24 September 1983, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Chua Sian Chin mengakui bahawa pemerintah telah terkhilaf kerana tidak memperkenalkan pertahanan awam di samping pertahanan ketenteraan, mengakibatkan orang ramai tidak mempedulikan pertahanan awam, dan oleh itu sedang berusaha membetulkan masalah tersebut dengan menyepadukan kedua-dua pertahanan ke dalam strategi Pertahanan Mutlak.[6]

Pada 6 Januari 1984, pemerintah mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat yang diketuai orang awam mengenai Hubungan Komuniti dalam Pertahanan (Advisory Council on Community Relations in Defence, Accord) untuk menguar-uarkan strategi medianya serta meningkatkan kesedaran orang ramai tentang program itu dengan menjemput penyertaan Ahli Parlimen, ahli perniagaan, kesatuan sekerja dan pemimpin masyarakat. Pemerintah merasakan perlunya orang awam memimpin dalam mempromosikan strategi Pertahanan Mutlak, bukannya anggota tentera.[7] Majlis ini ditubuhkan pada 18 Januari 1984.[8]

Pertahanan Mutlak telah diisytiharkan secara rasmi sebagai strategi Pertahanan Mutlak Singapura pada 22 Januari 1984 dengan lima tonggak, iaitu ketenteraan, sivil, ekonomi, sosial, dan psikologi. [9] [10] Ia dijadikan isi pokok akhbar-akhbar kendalian pemerintah yang menyiarkan ulasan yang menitikberatkan keperluannya, diiringkan dengan senario peperangan yang melampaui skop kebiasaan tentera.[9][10][11] Dalam beberapa bulan yang mendatang, Kementerian Pertahanan melancarkan kempen untuk mempromosikan Pertahanan Mutlak dalam kalangan pelajar, peniaga dan seluruh rakyat.[12][13][14] Didapati bahawa orang-orang tua yang pernah melalui pendudukan Jepun lebih "menyambut baik" inisiatif ini.[15] Bahkan, telah diadakan juga pertandingan-pertandingan untuk mencipta logo dan lagu berdasarkan strategi tersebut.[16][17] Pada tahun 2019, telah ditambahnya pertahanan digital sebagai tonggak keenam Pertahanan Mutlak apabila pemerintah menitikberatkan ancaman yang semakin menjadi-jadi dalam dunia siber.[18] Juga terdapat gesaan oleh Ahli Parlimen untuk menambah pertahanan iklim sebagai tonggak ketujuh untuk menitikberatkan kerentanan Singapura terhadap perubahan iklim dan kenaikan paras laut.[19][20]

Semenjak ditubuhkan lagi, Pertahanan Mutlak telah digunakan secara meluas oleh pihak-pihak pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara berturut-turut, lebih-lebih lagi semasa wabak SARS 2003, H1N1 dan COVID-19 2009, krisis ekonomi 1997 dan 2008, serta jerebu tahunan Asia Tenggara.[21][22] Ancaman terorisme dari dalam dan luar negara yang semakin menjadi-jadi juga disebut oleh Pemerintah Singapura sebagai sebab keperluan Pertahanan Mutlak untuk mencegah atau bertindak balas terhadap serangan.[23][24][25]

Rujukan

WikiPedia: Pertahanan Mutlak https://govinsider.asia/digital-gov/cyberark-build... https://www.asiaone.com/singapore/big-winners-tota... https://www.asiaone.com/singapore/first-ever-redes... https://www.bangkokpost.com/opinion/opinion/171789... https://www.channelnewsasia.com/news/cybersecurity... https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/cor... https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/job... https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/sig... https://opengovasia.com/mr-iswaran-launches-digita... https://www.straitstimes.com/business/economy/no-a...